KEBELAKANGAN
ini ramai yang melayari facebook (FB). Apa hukumnya wanita yang telah
berumahtangga mempamerkan gambar termasuk yang tidak menutup aurat untuk
dikenali dalam profilnya tanpa pengetahuan suami.
JAWAPAN
Perbuatan wanita mempamerkan gambar peribadi yang tidak menutup aurat adalah haram dalam Islam.
Bagi
seorang isteri kecantikan dan kejelitaannya hanya berhak ditatap oleh
si suami sahaja. Mendedahkan aurat kepada orang bukan mahram adalah
ditegah oleh Allah SWT. Lebih-lebih lagi melalui laman sosial yang
mungkin ditonton oleh jutaan manusia.
Malahan
gambar-gambar ini juga boleh dicetak dan boleh disalahguna oleh pihak
tertentu. Maksudnya, janganlah hendaknya orang wanita mendedahkan diri
mereka kepada sebarang kemudaratan melalui FB.
Mempamerkan
gambar peribadi dalam FB dengan pelbagai gaya dan watak dalam keadaan
tidak menutup aurat sangat tidak bermoral. Biarpun dengan izin suami
mahupun ahli keluarganya, ia tetap haram.
Wanita
adalah perhiasan dunia ini, namun sebaik-baik perhiasan ini hendaklah
benar-benar beriman dan bertakwa bukan yang tanpa segan silu mendedahkan
apa yang disuruh disembunyikan.
Firman
Allah SWT yang bermaksud: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan
yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripadanya
memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah
mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir
daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan
tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh
mereka melainkan kepada suami mereka atau baba mereka atau baba mertua
mereka atau anak-anak mereka....(al-Nur: 31)
Berdasarkan
ayat ini jelas bahawa Allah SWT memerintahkan kaum hawa menjaga batasan
aurat yang menjadi maruah mereka. Mendedahkan aurat kepada mereka yang
bukan mahram adalah haram.
Allah
SWT hanya membenarkan kelonggaran aurat dalam batasan ahli keluarga.
Ayah yang beriman serta adik beradik yang beriman tidak akan terangsang
dengan melihat aurat darah daging sendiri, melainkan yang bernafsu
binatang.
Segolongan
ulama masih menyarankan agar para wanita itu menjaga batasan aurat
mereka biarpun di hadapan ayah, abang dan mahram yang lain. Sebabnya
yang demikian demi menjaga kemuliaan dan kesucian seseorang wanita.
Sebab
itulah Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan sesungguhnya kami telah
menurunkan kepada kamu ayat-ayat keterangan yang menjelaskan
(hukum-hukum suruh dan tegah), dan contoh tauladan (mengenai kisah-kisah
dan berita), golongan yang telah lalu sebelum kamu serta nasihat
pengajaran bagi orang yang mahu bertakwa. (al-Nur: 34)
Sebab
itulah di dalam al-Quran, ada suruhan dan tegahan, bagi mereka yang
beriman pasti akan bersegera meninggalkan yang ditegah. Bagi mereka yang
berkarat hati amat sukar mendapat petunjuk.
Ini
kerana al-Quran adalah nur iaitu cahaya, bukan cahaya yang bias dilihat
dan dirasa oleh pancaindera manusia, cahaya ini adalah cahaya penyuluh
menuju kepada Allah SWT, mendamba keredaan dan tamak kepada cintanya.
Justeru,
mendedahkan aurat kepada yang bukan mahram adalah secara tidak langsung
tidak patuh kepada perintah Allah SWT yang menyuruh menutupnya.
Suami
yang menyedari bahawa isterinya mendedahkan gambar-gambarnya dalam FB
wajib menasihati dan menegur isterinya serta menyuruhnya mengeluarkan
gambar yang tidak sewajarnya daripada FB. Seterusnya, bertaubat kepada
Allah SWT.
Batasan
berinteraksi di dalam FB juga perlu diawasi. Jangan sampai mendedahkan
hal-hal rumahtangga di dalamnya. Apatah lagi menceritakan keaiban
rumahtangga termasuklah menceritakan keaiban suami atau isteri.
Ada
kajian yang dijalankan bagi mendapatkan peratus perceraian yang
berpunca daripada FB, jumlahnya agak banyak dan sangat mendukacitakan.
Nampaknya
sudah ada yang sengaja mendedahkan hal rumahtangga dalam FB sehingga
mengecilkan hati pasangan dan berakhir dengan perceraian.
Tabiat atau perbuatan mendedahkan keaiban suami di dalam FB atau di mana-mana hukumnya sama iaitu haram dan berdosa.
Sekiranya
si isteri tidak berpuas hati dengan suami, sedangkan berhak untuk
mendapat apa yang diperuntukkan oleh syarak maka dia boleh berunding
dengan suami atau minta ahli keluarga lelaki dan ahli keluarga perempuan
berunding mencari titik pertemuan serta mencari perdamaian.
_______________________________
iktibar bersama ... untuk aq & semua... :]
_______________________________
Catatan Lama
Laman utama